Saturday, February 11, 2012

AlKisah RumahTangga

 Kisah kecurangan suami atau isteri semakin berleluasa dewasa kini. Tidak perlu pergi jauh, ianya berlaku di depan mata sehingga membuatkan aku merasa tidak yakin dengan institusi perkahwinan. Mengapa perlu berjanji sehidup semati sedangkan tidak mampu untuk menunaikannya. Mengapa hati berubah sedangkan sudah memahami luar dan dalam pasangan masing-masing. Itulah yang sering menjadi persoalan kepada diriku. 
Jawapan yang sering didengar, waktu berubah, zaman pun moden dan kebanyakan orang menjadikan ianya sebagai perkara biasa. Terkadang terfikir, tidakkah mereka merasakan tindakan mereka ini sesuatu yang salah?Dimanakah letaknya akal untuk berfikir?Adakah manusia di zaman akhir ini hanya tunduk kepada tuntutan nafsu semata-mata?Jika mereka berfikir sedemikian, maka merekalah orang yang tersangat rugi dan beruntunglah bagi mereka yang tahu berfikir.

Kecurangan suami atau isteri bukanlah sesuatu yang asing pada masa kini. Banyak cerita yang didengar sama ada melalui pengalaman sendiri mahupun yang dibaca melalui media cetak atau media elektronik. Perasaan takut dan trauma menyelubungi diri kerana takut seandainya perkara ini turut dialami sendiri. Peristiwa sebegini membuatkan sesetengah orang lebih senang untuk sendiri berbanding mempunyai suami. Bagaimanapun tidak dinafikan mereka ini mempunyai naluri untuk mendirikan rumah tangga, namun peristiwa yang terjadi lebih banyak mempengaruhi mereka untuk lebih senang sendiri.

Tidak dinafikan juga, banyak rumahtangga yang kekal hingga ke akhirnya. Kata seorang kawan, "Itu bergantung kepada pengurusan kamu berdua", bermaksud komunikasi penting dalam mewujudkan sesebuah keluarga yang bahagia. Saya percaya, lelaki mahupun perempuan yang sudah, akan, dan telah berkahwin masing-masing mahukan perkahwinan yang berkekalan hingga ke akhir nyawa. Doaku sentiasa mengiringi kalian.