Tuesday, May 5, 2015

Berakhirnya sebuah penantian

1. Hati turut terkesan dengan tindakan segelintir pihak yang seolah-olah menidakkan perkhidmatan sesetengah pekerja. Perkhidmatan hampir sepuluh tahun dihentikan atas dasar tidak mempunyai dana untuk menyambung perkhidmatan. Salah siapa? 

2. Siapalah yang akan mendengar suara si kerdil ini? Rintihan yang tidak didengari malah dianggap remeh oleh segelintir pihak yang tidak tahu makna susah. Adakah kekayaan dan kesenangan yang mereka miliki mengaburi pandangan mereka sehingga tidak dapat membezakan antara kesusahan dan kesenangan. Beratnya memikul sesuatu amanah, apatah lagi bila gagal dilaksanakan. Dan malulah bagi mereka yang pentingkan diri. Perbuatan menghalalkan cara, mengakibatkan penindasan kepada golongan bawahan.

3. Karenah birokrasi sepanjang perjalanan ini. Laungan amanah hanya sekadar laungan. Wang ringgit dijadikan taruhan dalam menjalankan sesuatu perkerjaan, Akibatnya, projek entah kemana, penerima faedah terkontang-kanting, peruntukan habis begitu saja, dan kesan terbesar, pembuangan pekerja. Mana perginya golongan bijak pandai yang petah berkata?Mana suara si bijak pandai ketika anak-anak buahnya di dalam kesusahan. Lihat, inilah cabaran besar isu pengurusan sumber manusia ketika ini. Jangankan ingin menambah pekerja, malahan dibuang untuk mengurangkan kos. 

4. Simpati kepada mereka yang turut terkesan dengan pembuangan pekerja. Berang dengan sikap pihak atasan yang terus menerus dengan karenah birokrasinya tetapi saudara sendiri diutamakan. Membuat peraturan seperti 'lebih kuah dari sudu". 

5. Harapan dan doa sentiasa ada bagi mereka yang terpaksa diberhentikan. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Apalah yang dapat dibantu oleh seorang kerdil ini?Hanya kata-kata semangat dan doa agar mereka beroleh kejayaan. Berakhirnya penantian ini bukan bermakna suatu pengakhiran, tetapi mungkin satu permulaan untuk ke arah yang lebih baik.

6. Untuk semua rakan-rakan, doa kami sentiasa bersama kalian. Bertabahlah, kerana sesusah-susah kita, ada lagi mereka yang lebih susah. Sabarlah kerana nikmat kesabaran itu melebihi semuanya.