Tuesday, May 5, 2015

Berakhirnya sebuah penantian

1. Hati turut terkesan dengan tindakan segelintir pihak yang seolah-olah menidakkan perkhidmatan sesetengah pekerja. Perkhidmatan hampir sepuluh tahun dihentikan atas dasar tidak mempunyai dana untuk menyambung perkhidmatan. Salah siapa? 

2. Siapalah yang akan mendengar suara si kerdil ini? Rintihan yang tidak didengari malah dianggap remeh oleh segelintir pihak yang tidak tahu makna susah. Adakah kekayaan dan kesenangan yang mereka miliki mengaburi pandangan mereka sehingga tidak dapat membezakan antara kesusahan dan kesenangan. Beratnya memikul sesuatu amanah, apatah lagi bila gagal dilaksanakan. Dan malulah bagi mereka yang pentingkan diri. Perbuatan menghalalkan cara, mengakibatkan penindasan kepada golongan bawahan.

3. Karenah birokrasi sepanjang perjalanan ini. Laungan amanah hanya sekadar laungan. Wang ringgit dijadikan taruhan dalam menjalankan sesuatu perkerjaan, Akibatnya, projek entah kemana, penerima faedah terkontang-kanting, peruntukan habis begitu saja, dan kesan terbesar, pembuangan pekerja. Mana perginya golongan bijak pandai yang petah berkata?Mana suara si bijak pandai ketika anak-anak buahnya di dalam kesusahan. Lihat, inilah cabaran besar isu pengurusan sumber manusia ketika ini. Jangankan ingin menambah pekerja, malahan dibuang untuk mengurangkan kos. 

4. Simpati kepada mereka yang turut terkesan dengan pembuangan pekerja. Berang dengan sikap pihak atasan yang terus menerus dengan karenah birokrasinya tetapi saudara sendiri diutamakan. Membuat peraturan seperti 'lebih kuah dari sudu". 

5. Harapan dan doa sentiasa ada bagi mereka yang terpaksa diberhentikan. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Apalah yang dapat dibantu oleh seorang kerdil ini?Hanya kata-kata semangat dan doa agar mereka beroleh kejayaan. Berakhirnya penantian ini bukan bermakna suatu pengakhiran, tetapi mungkin satu permulaan untuk ke arah yang lebih baik.

6. Untuk semua rakan-rakan, doa kami sentiasa bersama kalian. Bertabahlah, kerana sesusah-susah kita, ada lagi mereka yang lebih susah. Sabarlah kerana nikmat kesabaran itu melebihi semuanya. 

Tuesday, September 23, 2014

Menulis



Seringkali hati terdetik di dalam hati untuk menulis.  Aku percaya itulah ilham untuk memulakan penulisan tidak kira mengenai topik apapun. Suatu ketika dahulu, aku pernah menulis cerpen...cerpen untuk remaja...aku masih ingat, cerpen itu ku berikan kepada kakak sepupuku untuk dibaca. Komenya pada ketika itu, bagus..teruskan penulisan itu..kerana cerpen itu (manuskrip) itu belum siap sepenuhnya. Manuskrip itupun aku tidak tahu ke mana menghilang. Dorongan menulis adalah dari manuskrip itu.

Menginjak remaja, aku jarang menulis tapi aku mempunyai hobi baru iaitu menulis jurnal. Ada kalanya aku menulis sajak. Sajak ku kira mempunyai nilai seninya yang tersendiri. Sajak mengajak kita untuk berfikir maksud yang ingin disampaikan oleh penyajak. Tutur bicara penuh isi tersurat mampu mengajak kita berfikir secara kreatif. Peranan sajak itu sendiri banyak membantu meningkatkan semangat nasionalisme kepada rakyat ke arah kemerdekaan. Bagiku juga, ianya suatu kepuasan meluahkan perasaan melalui sajak. Puitis, bermakna, dan nilai bahasa yang tinggi.


Monday, June 17, 2013

Hidup Kita, Pilihan Kita

Hidup kita pilihan. Kita berhak menentukan bagaimana corak kehidupan kita. Sedih, gembira, ketawa, menangis, bahagia, dan derita, itu semua adalah pilihan kita. Bagaimana kita memilihnya adalah bergantung kepada diri kita sendiri. Fikir dengan akal dan bukannya dengan perasaan emosi kerana akhirnya ianya akan memakan diri sendiri.

Dilema dalam diri menjadikan kita keliru dalam membuat pilihan. Maka keputusan dibuat dengan terburu-buru yang akhirnya menimbulkan penyesalan kepada diri. Memang, kita berhak untuk bahagia, berhak untuk menentukan arah hidup sendiri. Risiko? Ya, setiap apa yang kita lalui ada risikonya. Cuma, fikirlah dengan mata hati, dengan akal supaya hidup masa depanmu akan lebih bermakna.

Tinggalkan saja orang yang tidak menghargaimu. Kasih sayang perlu dipupuk dan dibajai selalu supaya ia terus mekar. Tetapkan hati agar tidak berubah kepada yang lain. Itu adalah pilihan dan pilihan itu akan menentukan dirimu akan datang.

Friday, June 7, 2013

Yovie and Nuno - Sempat Memiliki




Suatu ketika dulu, lagu ini sering berkumandang di telingaku sehinggakan ia benar-benar menjadi kenyataan. Menjadi igauan tetapi kini hanya menjadi kenangan dan menjadikan diriku lebih kuat berbanding dahulu. Suatu ketika..terima kasih atas segalanya.

Thursday, June 6, 2013

Kebangkitan

Terjagaku dari mimpi yang panjang
Membiarkan diri terumbang-ambing
Menanti sesuatu yang kabur
Hijab tertutup tanpa pertanyaan kabar yang telah lama dinanti
harus sampai bila ini kan terjadi
harus sampai bila dirikan terlena
harus sampai bila teruskan menanti
hanya omong kosong
sorakan kegembiraan sang iblis memesongkan hambaNya

Tuhan Maha Pengasih dan Penyayang
Rahmatnya begitu luas untuk hambaNya
Mampukah diri untuk bangkit semula
Mampukah diri kembali seperti dulu
Semangat waja, ilham mencurah
Tanpa rasa lelah
Menjadi inspirasi insan lain

Adakah inilah titik permulaan semula
Melangkah ke depan
Janganlah menoleh ke belakang
Bangkitlah, mungkin sudah tiba saatnya
Kau bangkit dari lena yang panjang
Mulakan langkah, tanamkan azam
Istiqamah
Allah Maha Mengetahui
Yakin, hanya dirimu mampu mengubah segalanya.








Bila Pena Berbicara

Bila Pena Berbicara..Akhirnya inilah Blog yang ku pilih setelah sekian lama. Aku seperti seorang yang ketandusan ilmu kerana tidak menggunakan sepenuhnya apa yang aku sukai. Selama ini aku melupakan minat menulis yang suatu ketika dahulu menjadi rutin dalam hidupku. Setiap peristiwa dicatat dalam diari untuk tatapanku sendiri dan ku bercadang untuk mengolahnya menjadi sebuah cerita yang tidak terlupakan. Namun, itu semua seakan-akan terkubur apabila diri dikecewakan oleh insan yang tidak mengenal erti kasih sayang. Aku merasakan seolah-olah duniaku musnah kerananya.
 
Terlalu banyak kenangan pahit yang masih berlegar-legar dalam ingatan. Satu-persatu kenangan mengusik jiwa, bukan untuk mengingat tetapi untuk bangkit kembali dari mimpi yang lena. Hampir sepuluh tahun aku mensia-siakan masaku dengan insan yang tidak punya hati dan perasaan. Berjanji tetapi tidak mampu untuk menepatinya. Menyesal?Ya, terdetik perkataan menyesal tetapi itulah lumrah hidup manusia dan selebihnya, mungkin inilah ketentuan Tuhan untukku. Aku yakin, setiap yang berlaku itu mempunyai hikmah yang aku tidak ketahui. Sekurang-kurangnya ianya menjadikan diriku kuat dan tabah menghadapi masa depan. Terima kasih kepada sahabat yang banyak memberikan kata-kata semangat dan nasihat yang berguna untukku. Pengalaman mendewasakan, itulah yang lebih penting. Malah, pengalaman juga adalah guru yang terbaik untuk kita.
 
Bila Pena Berbicara...mungkin satu permulaan...:-)

Wednesday, June 5, 2013

Kisah Persabahatan

Persahabatan itu terlalu indah untuk diperkatakan. Cubit paha kiri, terasa paha kanan, itulah perumpamaannya. Dalam hidup ini, kita memerlukan sahabat untuk berbicara, berdebat, berkongsi masalah, berbincang dengan pelbagai isu semasa dan sebagainya. Itulah lumrah bersahabat. Ketika kita gembira dia selalu ada, dan ketika dia sedih dia juga ada disisi, ibarat isi dengan kuku. Sahabat, dia yang banyak menegur salah dan silap agar kita tidak tersasar jauh. Sahabat, yang sering memberikan nasihat ketika kita dalam kekeliruan membuat pilihan. Sahabat, dialah yang terhebat.